KLANG 22 Jun - Proses pemilihan semula jawatan PKR Kota Raja di sini
hari ini bertukar ganas sehingga mengakibatkan dua lelaki cedera dalam
pergaduhan semasa sesi pengundian.
Wartawan Bernama di pusat pengundian iaitu Dewan Klang Jaya di Taman
Desawan mendapati pergaduhan yang tercetus pada kira-kira 4.15 petang
itu bermula dari dalam dewan menyebabkan penyokong calon yang berada di
luar berang.
Seorang saksi yang enggan dikenali mendakwa pergaduhan itu bermula
apabila seorang pengundi dipercayai cuba memecahkan peti undi selepas
membuang undinya sehingga menimbulkan kekecohan.
Penyokong calon yang mengetahui insiden itu merempuh pagar pusat
mengundi namun dihalang Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) yang mengawal
ketat pintu masuk utama ke dewan berkenaan.
Situasi tegang itu bertambah `panas' apabila ada penyokong calon di luar dewan mula membaling kerusi antara satu sama lain.
Kedua-dua mangsa, yang dipercayai penyokong dan pengundi, cedera di
bahagian kepala menyebabkan proses pengundian semula cabang berkenaan
terpaksa dihentikan setengah jam lebih awal.
Difahamkan pengumuman penutupan pusat mengundi itu dibuat wakil JPP
atas faktor keselamatan namun beliau menyatakan peti undi tidak
dirosakkan dan dihantar ke ibu pejabat PKR dengan diiringi polis untuk
proses pengiraan pada kira-kira 5.30 petang.
Terdahulu, beberapa penyokong melahirkan rasa tidak puas hati dengan
tindakan seorang calon yang juga penyandang Ketua Cabang Kota Raja Dr
Xavier Jayakumar kerana mengarahkan sekumpulan pengundi keluar dari
dewan pengundian.
K. Krishnan, 55, mendakwa Xavier yang juga Anggota Dewan Undangan
Negeri Seri Andalas cuba menyalahgunakan kuasanya sebagai wakil rakyat.
"Apa kuasa dia mahu panggil mereka? Dia hanya wakil rakyat, jadi
mengapa mahu gaduh-gaduh. Dia panggil suruh periksa nama guna senarai
dia sebab takut kalah sedangkan kita sudah periksa di pihak kita, memang
nama ada," katanya.
Pemilihan PKR di Selangor dilakukan semula selepas berlaku kekecohan
pada 11 Mei lepas, yang menyaksikan 11 daripada 22 cabang terpaksa
menjalani proses itu sekali lagi.
Sementara itu, di NIBONG TEBAL, pemilihan semula jawatan PKR sedikit
kecoh apabila penyokong calon bertanding bertikam lidah ketika proses
pengundian di Dewan Serbaguna Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan
Kampung Seri Ampangan.
Proses pengundian yang bermula pukul 10.30 pagi itu tegang apabila
penyokong penyandang Ketua Cabang Nibong Tebal Datuk Maktar Shapee dan
seorang calon Datuk Mansor Othman, yang juga Anggota Parlimen Nibong
Tebal, cuba meraih undi anggota PKR yang hadir untuk mengundi.
Penyokong Maktar, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai
Bakap, dan Mansor dilihat saling melakukan provokasi sehingga
menyebabkan mereka hampir bertumbuk, bagaimanapun, urus setia pemilihan
berjaya meleraikan keadaan itu.
Dalam pada itu, difahamkan pemilihan semula Cabang Nibong Tebal
diboikot penyokong Maktar selepas mendakwa tidak berpuas hati dengan
tarikh pemilihan semula yang diputuskan PKR pusat.
Penyandang Timbalan Ketua Cabang Nibong Tebal Mohd Kamil Abu Bakar
berkata pihaknya memboikot pemilihan semula itu kerana mendakwa mereka
hanya dimaklum mengenai perkara berkenaan empat hari sebelum pengundian
berlangsung berbanding penyokong Mansor yang dimaklum tiga minggu lebih
awal.
"Kami ada menghantar surat kepada JPP minta ia diadakan pada 28 Jun
namun tidak mendapat maklum balas. Justeru, kami memutuskan untuk
boikot pemilihan ini kerana kekurangan masa untuk berkempen dan bertemu
penyokong berbanding pengikut Mansor yang sudah membuat persediaan
awal,'' katanya ketika dihubungi.
Proses pengundian yang berakhir pada 5.30 petang itu menyaksikan
sebanyak 412 daripada 3,758 anggota PKR cabang Nibong Tebal yang layak
mengundi, hadir membuang undi.
Proses pemilihan PKR Cabang Nibong Tebal dilakukan semula selepas
berlaku kekecohan pada 4 Mei lepas apabila keputusan pengundian
dibatalkan gara-gara terlebih undi.
Difahamkan jumlah kertas undi yang diterima ialah 838 keping berbanding senarai daftar sebanyak 672 orang.
No comments:
Post a Comment