Saturday 22 February 2014

Zaid kembali gegar dunia politik


Sehingga hari ini, dua pemimpin parti politik menawarkan diri bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang. Daripada dua calon itu, seorang sudah mengesahkan tiket bertanding, iaitu Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Seorang lagi dari Barisan Nasional (BN) yang masih dalam peringkat mencari dan menilai calon sesuai untuk berlawan dengan Anwar yang juga Penasihat Pakatan Pembangkang dan disebut-sebut bakal pengganti Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Ketika pengundi DUN Kajang, majoritinya Cina diulik dengan ceramah dan janji Anwar, tiba-tiba tidak semena-mena muncul seorang pemimpin yang sudah bersara dari politik, menyatakan hasratnya hendak mencuba nasib.

Orang itu ialah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim. Beliau menyatakan hasratnya melalui tulisan dalam blognya zaid.my, dan kata putus sama ada benar atau sebaliknya hanya diketahui pada sidang medianya di Satay Kajang Samuri, Kajang pada tengah hari Ahad.

Mungkin ia satu kejutan atau mungkin juga bukan kejutan. Tetapi pilihan raya kecil DUN Kajang adalah permulaan kali ketiga bagi Zaid untuk terlibat semula dalam politik selepas empat tahun bersara. Dalam tempoh 'persaraan' itu beliau banyak menghabiskan masa menulis perkembangan semasa melalui blognya dan menyampaikan ceramah ilmu.

Sejarah politik Zaid bermula tahun 1992 di Kota Bharu Kelantan. Beliau kembali ke kampungnya di Pasir Hor (dalam Parlimen Kubang Kerian), tetapi berminat dengan UMNO Bahagian Kota Bharu.

Justeru, beliau mendaftar sebagai ahli UMNO di Cawangan Khatib Ali dan bergiatlah beliau dalam politik. Matlamat utamanya ialah jawatan Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu. Ketika itu jawatan berkenaan dipegang atau disandang Datuk Ahmed Rastom Ahmed Maher.

Zaid berhempas pulas selama enam tahun atau tiga penggal pemilihan untuk mendapatkan sokongan ahli UMNO Bahagian itu bagi membolehkannya mengalahkan Ahmed Rastom. Akhirnya dalam pemilihan penggal ketiga, keputusan memihak kepadanya dan beliau dinobatkan sebagai Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu.

Pertama kali mencuba nasib sebagai calon Barisan Nasional (BN) bertanding kerusi Parlimen Kota Bharu melawan calon Pas (Datuk Takiyuddin Hassan), beliau tewas. Kemudian PRU seterusnya, beliau menang setelah mengalahkan calon PKR dan terus dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada tahun 2004.

Bagaimanapun, di sebalik kemenangan bersejarah pada PRU 2004 itu ada peristiwa hitam terselit. Sepuluh hari sebelum pengundian, nama Zaid diletakkan sebagai calon di kerusi DUN Bunut Payong, Kota Bharu, tetapi beliau enggan menerimanya dan mengarahkan sekumpulan penyokongnya membuat bantahan di hadapan bangunan pejabat UMNO Negeri.

Akur dengan desakan dan bantahan itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed ketika itu terpaksa mengubah semula senarai nama calon dengan mengekalkan Zaid di kerusi Parlimen Kota Bharu.

Kemenangan itu membuka laluan Zaid ke Kabinet sebagai Menteri yang menjaga hal ehwal undang-undang dan pembaharuan kehakiman.

Zaid adalah seorang yang suka melawan arus. Dari awal penglibatan politik lagi beliau sentiasa berselisih pendapat dengan pucuk pimpinan parti dan sikap itu menyebabkan beliau tidak lama dalam Kabinet, sebelum membuat kejutan meletak jawatan sebagai menteri.

Beliau menyertai pembangkang dengan menjadi ahli dan Naib Presiden PKR. Beliau mendaftar keahlian parti itu di Bangi, Selangor dan tidak lama kemudian diberi kepercayaan oleh Anwar bertanding di kerusi Parlimen Hulu Selangor tahun 2010.

Tidak lama dalam PKR, Zaid membawa haluan sendiri dengan menubuhkan Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA). Asal parti ini ialah Angkatan Keadilan Insan Malaysia yang ditubuhkan oleh serpihan Pas bersama parti Hisbul Muslimim (Hamim).

Dalam KITA juga Zaid yang ketika itu Presiden berselisih faham dengan biro politik parti itu menyebabkan beliau meninggalkan parti itu terkontang kanting tanpa kemudi.

Beliau kemudian mengumumkan mahu bersara dan menumpukan kepada keluarga dan sebuah badan kebajikan yang ditubuhnya sejak sekian lama iaitu Yayasan Orang Kurang Upaya Kelanyan (YOKUK).

Kini, selepas empat tahun berlalu, Zaid timbul kembali. Darah politik yang mengalir dalam tubuhnya tidak boleh dihalang. Beliau menulis dalam blog miliknya menyatakan hasrat mahu bertanding di DUN Kajang.

"Kekalahan dalam pilihan raya adalah perkara biasa. Ia tidak menghalang saya untuk terus mencuba, selagi mendapat restu isteri dan anak-anak,” kata Zaid dalam perbualan dengan Malaysiagazette malam tadi.

Mangsa Langgar Lari 14 Februari Meninggal Dunia

Eksekutif Akaun, Yap Mee Ling meninggal dunia pada Sabtu selepas bertarung nyawa akibat dirempuh oleh sebuah kereta dalam satu kejadian langgar lari pada 14 Februari lalu.

Mei Ling, 48, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selama seminggu kerana mengalami kecederaan parah setelah dilanggar ketika melintas jalan di Jalan Sultan Sulaiman pada pukul 6.45 petang 14 Februari.

Sebuah kereta didakwa merempuhnya ketika dia dalam perjalanan ke pejabatnya berhampiran Wisma Tun Sambanthan dari Wisma Pahlawan.

Mei Ling dilaporkan mengalami kecederaan kepala yang teruk dan disahkan meninggal dunia pada kira-kira pukul 11.50 pagi Sabtu.

Rakannya Lee Chee Hoong, 57, yang berkata, Mei Ling merupakan seorang teman yang baik dan pemergiannya akan dirasai.

"Kami bekerja bersama-sama selama 20 tahun dan dia adalah seperti ahli keluarga saya.

"Mee Ling begitu berdedikasi terhadap kerjanya tetapi masih mempunyai masa bersama teman-teman," katanya.

Chee Hong berkata, dia akan terus membantu keluarga Yap mencari saksi walaupun peluang untuk mencari mereka adalah tipis.

"Ia tidak akan mudah tetapi kami tidak akan berputus asa mencari saksi kejadian itu.

"Setakat ini hanya seorang yang tampil dengan maklumat berhubung kejadian," kata Chee Hong kepada The Star.

Saksi, Eric Chan, 25, berkata, dia dalam perjalanan ke kuil apabila dia melihat kenderaan yang dipandu laju merempuh Mei Ling.

"Mee Ling melintas jalan dan berhenti separuh jalan apabila dia nampak kereta datang dari jauh.

"Dia mungkin berhenti di tengah-tengah jalan raya untuk memberi laluan kepada kenderaan yang lalu," kata Eric.

Dia menambah bahawa kereta itu dikenal pasti jenis Proton Wira Aeroback, merempuh Mei Ling ketika melalui satu selekoh.

"Pemandu itu berhenti selama dua hingga tiga saat selepas perlanggaran tetapi tidak keluar dari kenderaannya.

"Saya tidak dapat mengecam warna kereta dan nombor pendaftaran kerana keadaan itu masih gelap," jelas Eric.

Dia berkata, ramai penunggang motosikal datang membantu Mei Ling selepas melihat kemalangan itu.

"Saya menghubungi keluarganya pada Khamis selepas melihat beberapa kenyataan mengenai kemalangan itu di Facebook.

"Saya mengikut kakak Mee Ling ke balai polis dan kenyataan saya dirakam," kata Eric.

Mayat mendiang Mei Ling akan dibakar di Taman Memorial Nirvana Memorial di Semenyih pada Isnin.

Keluarga Mei Ling berharap saksi masih boleh tampil ke hadapan dengan maklumat mengenai kemalangan langgar lari dan membantu mereka bagi mengenal pasti pemandu terbabit.

BN Tiada Pakatan Dengan Calon Bebas PRK Kajang - Tengku Adnan

Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai sebarang pakatan dengan mana-mana calon yang bertanding atas tiket bebas dalam Pilihan Raya Kecil (PKR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, 23 Mac ini.

Sebaliknya, Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, Umno dan rakan-rakan parti komponen BN akan membantu calon BN iaitu naib presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun untuk memenangi kerusi tersebut.

BN adalah pembangkang di Selangor dan kempen-kempen yang dijalankan adalahsebagaimana tindakan sebuah parti pembangkang, katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Kenduri 1 Wilayah Persekutuan peringkat Parlimen Lembah Pantai, di sini Sabtu.

Tengku Adnan, yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, berkata walaupun BN adalah bukan pilihan tetapi akan berusaha untuk merampas kerusi tersebut daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Kerusi DUN Kajang kosong selepas wakil rakyatnya Lee Chin Cheh dari PKR meletak jawatan pada 27 Januari lepas untuk memberi laluan kepada Ketua Umum parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding.