Saturday 21 December 2013

'Hartanah Seperti Wanita', Tengku Adnan Mohon Maaf

MENTERI Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor memohon maaf jika golongan wanita terasa dengan kenyataannya yang dikatakan menyamakan wanita dengan hartanah.

Beliau bagaimanapun menegaskan, bahawa kenyataan itu telah disalahertikanoleh pihak tertentu dan beliau tidak bermaksud membuat wanita tersinggung.

"Saya tidak pernah menyamakan wanita dengan hartanah. Apa saya maksudkan orang tidak faham iaitu kalau anda buat rumah cantik, seperti wanita juga...kalau mahu cantik pakai 'makeup'," katanya ketika ditemui pemberitaselepas menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan MCA, Sabtu.

Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung Umno turut menafikan bahawa beliau tidak menghormati golongan wanita kerana beliau sendiri memiliki ramai anak perempuan.

"Saya tidak pernah tidak hormat perempuan...saya ada enam anak perempuan,bahkan dalam Umno, separuh daripadanya adalah golongan wanita...sebab itu jika wanita tersinggung, saya minta maaf dan saya memang tidak bermaksud," katanya.

Pada Jumaat, Tengku Adnan dilaporkan menghina wanita Malaysia apabila menyatakan bahawa 'hartanah seperti wanita, harganya meningkat apabila memakai alat solek dan jika tidak memakai alat solek harganya menurun' ketika menjelaskan mengenai kadar cukai taksiran hartanah di Kuala Lumpur.

Mengulas tentang amanat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di perhimpunan itu, Tengku Adnan berharap ia (amanat) akan menyuntik semangat kepada semua anggota MCA terutama barisan kepimpinan tertinggi baharu parti itu yang akan dipilih pada Sabtu.

Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berkata dalamusaha mengembalikan semula keyakinan masyarakat Cina di negara ini untuk memilihMCA, semua parti komponen BN akan berganding bahu dalam merealisasikan harapanitu.

"Kita BN sebagai satu parti yang berbilang bangsa akan teruskan apa juga kerjasama yang telah kita amalkan selama ini...kita akan bekerjasama dengan MCA dan berharap selepas pemilihan ini MCA akan bertambah kuat dan akan mewakili rakyat Cina," katanya.

Najib yang juga Pengerusi BN dalam ucapan perasmiannya hari ini menggariskanempat langkah untuk MCA mengembalikan sokongan rakyat kepada parti itu iaitu 'reunite', 'restrategies', 'reinvigorate' dan 'reestablish'.-BERNAMA

Saya Tidak Menyesal Tidak Pertahankan Jawatan Presiden - Chua

Dr Chua Soi Lek (kanan) mengundi pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) MCA di Wisma MCA, Sabtu. 


DATUK Seri Dr Chua Soi Lek menegaskan beliau tidak menyesal apabila membuat keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden MCA.

"Kehidupan saya tidak semata-mata hanya berkisar kepada politik sahaja, malah saya masih ada rancangan lain selepas berundur nanti.

"Namun demikian, saya masih merupakan seorang perwakilan dan anggota parti dan akan terus memberi sokongan kepada parti tidak kira dalam memberi nasihat ataupun menghadiri sebarang program yang dianjurkan oleh parti," katanya.

Bercakap pada sidang media selepas mengundi pada pemilihan parti sempena Perhimpunan Agung MCA kali ke-60 di Wisma MCA pada Sabtu beliau berkata keputusan tidak mempertahankan jawatannya itu untuk memberi peluang kepada pucuk pimpinan yang baharu menerajui parti.

"Saya turut berharap dan sentiasa mendoakan agar pucuk pimpinan yang baharu ini dapat mengembalikan sokongan masyarakat Cina terhadap MCA dan sama-sama berjuang untuk berkhidmat kepada mereka," katanya.

Mengulas mengenai ucapan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak, Dr Chua berkata, rakyat seharusnya bijak membuat penilaian terhadap BN secara keseluruhannya terutama MCA kerana parti itu merupakan sebahagian komponen daripada entiti itu.

"Ini bukan soal pucuk pimpinan sahaja... ini soal sokongan kepada kerajaan. MCA merupakan sebahagian daripada BN, apa dasar yang dilaksanakan oleh BN akan ditafsirkan seperti MCA sebahagian daripadanya.

"Kalau dasar itu rakyat tak terima, maka MCA dan parti komponen lain (juga) akan menanggung beban ini," katanya.

Sementara itu, Dr Chua juga menyeru semua perwakilan agar menghormatisebarang keputusan yang dibuat selepas pemilihan dan bekerjasama dengan barisankepemimpinan yang baharu bagi menerajui parti.

"Saya tidak mahu sejarah berulang apabila ada perwakilan yang tidak puas hati ketika saya dipilih menjadi presiden pada pemilihan tahun 2010 lalu meletakkan jawatan meninggalkan parti.

"Ini satu tindakan yang tidak bertanggungjawab, tidak menghormati sistem demokrasi yang diamalkan serta tidak menghormati keputusan perwakilan keranagolongan ini mementingkan diri sendiri yang mahukan individu tertentu sahajamemimpin parti dan enggan bekerjasama dengan pemimpin baharu," katanya.-BERNAMA

Penggantungan Permit The Heat Bukan Kerana Laporan Mengenai Perbelanjaan Tidak Berhemah PM - KDN

 
Akhbar The Heat digantung kerana tidak menepati syarat ditetapkan KDN.

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) menafikan bahawa akhbar mingguan The Heat telah digantung berhubung laporan 'perbelanjaan tidak berhemah Perdana Menteri' yang disiarkan, bulan lalu.

Sebaliknya, kementerian itu menegaskan penggantungan itu dilakukan kerana akhbar tersebut telah melanggar syarat yang terkandung dalam permit penerbitan.

"Keputusan itu tiada kena mengena dengan laporan mengenai Perdana Menteri yang disiarkan The Heat baru-baru ini, dan sebarang dakwaan yang bertentangan dibuat tanpa bukti," kata jurucakap KDN yang dihubungi pemberita The Wall Street Journal.

Permit penerbitan The Heat digantung oleh KDN pada Khamis.

Dalam kenyataan tiga perenggan The Heat yang disiarkan pada Sabtu di laman web akhbar tersebut, memaklumkan bahawa The Heat telah menghentikan penerbitannya kerana mematuhi arahan pemberhentian yang dikehendaki oleh KDN.

Portal tersebut turut mengesahkan dengan penggantungan itu, akhbar mingguan tersebut tidak akan diterbitkan pada 21 Disember (Sabtu) seperti yang dijadualkan.

Akhbar bersaiz tabloid itu dilaporkan menerima surat tunjuk sebab minggu lalu.

Laporan terdahulu mendakwa penggantungan akhbar tersebut dipercayai berhubung penyiaran artikel muka depan mengenai perbelanjaan tidak berhemah Perdana Menteri yang disiarkan pada 23 hingga 29 November lalu.

Sementara itu, menurut laporan The Malaysian Insider, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata penggantungan akhbar The Heat berkuatkuasa serta merta selepas diberikan surat tunjuk sebab.

Beliau berkata, ia merupakan prosedur biasa sementara menunggu jawapan kepada surat tunjuk sebab, sebelum tindakan selanjutnya daripada KDN.

“Penerbit mempunyai masa sehingga 24 Disember untuk menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan kepada mereka,” kata Wan Junaidi.

Friday 6 December 2013

PM balik tinjau banjir di Pahang lepas sampai ucapan dasar



Sebaik sahaja Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak habis berucap untuk ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) pagi semalam, beliau terus bergegas ke Pahang untuk meninjau keadaan banjir di negeri itu yang dianggap paling buruk.

Sikap Perdana Menteri ini patut dicontohi pemimpin lain yang berada di PWTC untuk menghadiri PAU, balik ke kawasan masing-masing meninjau keadaan banjir kerana bencana itu dikatakan turut berlaku di tiga negeri iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Tok Janggut sendiri ketika melayari laman sosial Facebook, melihat rintihan penduduk dan ahli akar umbi merayu pemimpin mereka yang berada di Kuala Lumpur agar balik menjenguk mereka yang ditimpa musibah akibat banjir.

Pada Tok Janggut, elok juga mereka balik kerana masalah rakyat paling diutamakan dalam semua perkara. Lagipun, berada di PWTC kalau bukan untuk menyampaikan perbahasan dan hanya sekadar memenuhkan dewan atau bangunan, baik ambil keputusan balik ke kawasan.

Rakyat lebih memerlukan perhatian kita. Sekurang-kurangnya dengan adanya pemimpin di tempat itu dapat melegakan mangsa banjir yang mungkin mengalami kerugian akibat rumah mereka dinaiki air.

Contohilah DS Najib. Walaupun dalam kesibukan melayan tetamu luar negara yang datang sempena PAU, beliau sempat balik ke Pahang. Cuma janganlah kita di bawah ini jadikan alasan, “Taka pa PM boleh balik bila-bila masa sebab ada kapal terbang eksekutif yang boleh bawa PM bila-bila masa”.

Sebenarnya, kita pun boleh jadi macam PM juga. Banyak kemudahan pengangkutan disediakan seperti kapal terbang MAS, kapal terbang Air Asia dan terbaru Firefly. Gunakanlah kemudahan itu untuk balik ke kawasan.

Dalam keadaan darurat sekarang, pucuk pimpinan pun tentu mengizinkan pemimpin negeri dan pemimpin kawasan balik ke bahagian atau parlimen masing-masing kerana dalam keadaan sekarang rakyat memerlukan kita.

Tok Janggut tabik, pertamanya, kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Shabery Cheek kerana menjadi pemimpin pertama bergegas pulang ke Terengganu sebaik sahaja menerima makluman mengenai keadaan banjir di negeri itu.

Kemudian diikuti beberapa menteri lain dan pemimpin kanan lain. Sungguhpun begitu, PAU tidak terjejas dengan ketiadaan mereka. Malah PAU tetap berjalan mengikut jadual. Tambahan pula, agenda menyelamatkan mangsa banjir termasuk dalam perjuangan dan pembelaan Umno.

Sekali lagi tahniah kepada DS Najib. Dalam perjalanan (penerbangan) beliau sempat meninjau keadaan banjir di Pahang dari udara dan sempat singgah di pusat pemindahan banjir di Sekolah Menengah Sains Sultan Ahmad Shah dan Sekolah Sungai Miang di Pekan.

Beliau juga sempat singgah di Sekolah Kebangsaan Sungai Puteri Rompin untuk bertemu mata dan bertanyakan khabar keadaan mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan itu.

Umno siapsiaga gempur pembangkang hadapi PRU 14



Terpegun Tok Janggut mendengar ucapan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menyampaikan ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung Umno (PAU) di PWTC, di Kuala Lumpur pagi semalam.

Ucapan paling panjang dan paling bernas pada perkiraan Tok Janggut sepanjang mengikuti PAU sejak penggal pertama DS Najib menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno sejak April 2009. 

Banyak benda dikupasnya yang setiap satunya perlu diterjemah dan diolah oleh anak-anak buah di peringkat negeri, bahagian dan cawangan di seluruh negara.

Tok Janggut juga tengok DS Najib begitu berseri-seri kali ini. Almaklum, penggal pertama BN menang dan terus kekal menerajui Malaysia pada PRU 13 Mei lalu. Tok Janggut tumpang ceria, bangga dan gembira dengan pencapaian DS Najib.

Namun, dalam keterpesonaan Tok Janggut menghayati isi butir ucapan DS Najib, terfikir juga oleh Tok Janggut akan banyak benarnya apa yang dikatakan oleh DS Najib terutama mengenai perjuangan Umno kepada umat Islam, bangsa Melayu dan rakyat 1Malaysia.

Betul sekali kata DS Najib, kalau bukan Umno yang melestarikan pembangunan negara sehingga disegani rakan-rakan dari Asia, Eropah dan barat, siapa lagi yang mampu berbuat demikian. Nak harapkan Pas dan PKR? Nak jaga parti sendiri pun bercelaru. Inikan pula negara.

Tengok sajalah Kelantan yang diperintah oleh Pas, Pulau Pinang yang ditadbir oleh DAP dan Selangor oleh Pakatan Rakyat. Ketiga-tiga negeri itu berada dalam kecelaruan yang amat teruk. Sesama sendiri bergaduh, berkrisis dan berbalah merebut kuasa.

Di Kelantan misalnya, sejak tok guru Nik Aziz meletak jawatan sebagai menteri besar dan orang kanannya, Datuk Husam Musa tidak lagi dilantik sebagai Exco, banyak kegemparan yang berlaku. Mungkin sedikit sebanyak ada rasa tidak puas hati dalam diri kedua-dua mereka terhadap kepimpinan baru Kelantan oleh Datuk Ahmad Yakub.

Begitu juga di Pulau Pinang. Nampak saja tenang, tetapi di dasar cawan berkocak bergelodak. Dasar penindasan yang dibawa oleh kerajaan DAP menyebabkan Pas Pulau Pinang tidak berpuas hati. Sekarang kedua-duanya berkrisis sehingga Pas meminta Presidennya DS Abdul Hadi Awang campur tangan.

DS Abdul Hadi nak campur macam mana, dia terlalu sayang sangat kepada DAP. Hinggakan apa saja yang DAP lakukan kepada Pas pun dia tak ambil kisah.

Di Selangor pun makin teruk. Siapa kata menteri besarnya, TS Abdul Khalid mendapat sokongan seratus peratus daripada wakil rakyat pakatan pembangkang? ADUN Bukit Antarabangsa, Azmin Ali antara manusia yang sangat memusuhi TS Khalid.

Ini semua dikupas oleh DS Najib pada ucapan dasarnya dan para pemimpin Umno perlulah menghangatkan isu-isu ini supaya rakyat sedar siapa sebenarnya Pas, PKR dan DAP. Jangan pula Presiden seorang sahaja yang berdegar-degar, sedangkan yang lain tidur lena.

Setiap kali diadakan PAU, adalah untuk menyiapsiagakan barisan tenteranya yang terdiri daripada tiga sayap parti iaitu Pergerakan Wanita dan Pemuda yang senior serta Pergerakan Puteri dan Kelab Putera yang masih junior.

Jangan pula, datang jauh-jauh dari negeri masing-masing untuk berhimpun di PWTC semata-mata untuk mendengar ucapan dasar Presiden, kemudian bila balik, terus hempas fail bawah kerusi dan kita pula tidur, kononnya nak hilangkan penat.

Untuk berjuang dalam parti, soal penat bukan faktor yang perlu diutamakan. Tidak ada maknanya Presiden seorang yang merangka strategi untuk menguatkan parti, tetapi tidak disambut oleh bala tenteranya. Ini suatu yang amat mendukacitakan bagi Tok Janggut.

Apapun, Tok Janggut mengikuti satu persatu ucapan perbahasan oleh Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri. Masing-masing ada wawasan, visi dan misi tersendiri untuk mengemudi sayap parti dalam tempoh mereka diberi amanah dan tanggungjawab menjadi kapten.

Tetapi, sejauhmana mereka menterjemahkan ucapan itu apabila balik ke kawasan nanti, tidak diketahui. Mungkin indah khabar dari rupa atau cakap berdegar-degar, ekor bergelumbang taik?

Harap-harap ia tak berlaku sebagaimana sangkaan Tok Janggut ini. Tok Janggut nak tengok Umno bawah pimpinan DS Najib lebih bertenaga dan bersemangat untuk mengembalikan maruah parti yang satu per empat hilang pada PRU 13 lalu.

Friday 29 November 2013

Lagu Tanya Sama Najib sudah jadi “Tanya Sama Anwar Apa Sebab Goyang”

Jika sebelum ini lagu “Tanya Sama Najib, Apa Sebab Goyang, Nanti Jawab Najib, Sabah Dah Hilang” pernah didendangkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum Pilihan Raya Umum 13 yang lalu, kali ini rentak yang sama boleh dinyanyikan.

Mungkin rangkapnya begini pula…..“Tanya Sama Anwar, Apa Sebab Goyang, Nanti Jawab Anwar 11 Cabang Aku Dah Hilang’.

Menurut Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Jeneri, Yb Mahadzir Abdul Hamid, rangkap dan lagu berkenaan cukup sesuai untuk diamati oleh Ketua Pembangkang itu yang hari ini mungkin telah menyedari hakikat yang sebenarnya.

 
Kata beliau retorik oleh pembangkang khususnya PKR di negeri itu boleh diumpamakan senjata makan tuan setelah hasrat untuk melebarkan pengaruh mereka di Sabah tidak kesampaian yang hanya menampakkan kecelaruan.

“Begitulah jadinya jika sebuah kapal yang ramai nakhoda… Bila dah ramai nakhoda ini kita boleh sama-sama fikirkan bagaimana kesan dan impaknya kepada kapal berkenaan dan apa yang berlaku di Sabah hari ini adalah petanda kepada perkara berkenaan.

“Lain yang disasarkan lain pula yang jadi dan perumpamaan serta lagu di atas cukup elok untuk dihayati oleh pimpinan PKR. Kegagalan pimpinan PKR di Sabah harus menjadi tanggungjawab semua dan itulah yang saya sebutkan soal kapal banyak nakhoda tadi,” katanya.

Kata beliau kesatuan yang padu amat diperlukan dalam sesebuah parti politik untuk memastikan parti berkenaan terus mengorak langkah dengan penuh terjamin dalam usaha menabur khidmat bakti kepada rakyat secara menyeluruh.

“Ini tidak…Soal kesatuan pun entah ke mana jadi sama-sama hayati dan sama-sama fikirkan. Ini adalah asas dan bukannya perkara main-main. Sebab itulah tidak pelik dan bukan sesuatu yang ganji senario di Sabah itu berlaku,”ujarnya.

DAP jangan angkuh 1.2 juta penjawat awam yang digelar “Kucing Kurap” ada kuasa mengundi

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Shamsul Anuar Nasarah percaya sikap biadap dan angkuh pemimpin DAP yang enggan memohon maaf atas gelaran “kucing kurap” kepada kakitangan awam akan terus kekal dalam ingatan lebih kurang 1.2 juta kakitangan awam seluruh Negara.

Justeru, beliau berharap 1.2 juta kakitangan awam akan beri pengajaran berguna bukan saja kepada ahli parlimen Jelutong, Jeff Ooi tetapi seluruh kepimpinan DAP termasuk pakatan pembangkang yang lain pada masa hadapan terutama ketika pilihan raya umum nanti.

Jelasnya lagi sikap yang ditunjukkan Jeff Ooi ini memberikan gambaran bahawa inilah sikap dan cara kepimpinan DAP yang angkuh, sombong serta tidak bertanggungjawab.

Tambah beliau sejak penghinaan yang dikeluarkan oleh pemimpin DAP itu, ramai pihak telah menggesa agar DAP mengambil tindakan segera malah Jeff Ooi juga didesak memohon maaf secara terbuka.

Namun sehingga ke hari ini masih tiada sebarang kenyataan maaf dikeluarkan malah pimpinan tertinggi DAP juga tidak memberi sebarang respon terhadap isu ini.

"Tindakan berdiam diri DAP ini seakan merestui pemimpin mereka bersikap kurang ajar dan mencela penjawat awam. Atau adakah mereka bersetuju dengan cara ahli parlimen  Jelutong ini… DAP harus sedar diri dan jangan terlalu rasa selamat dengan kedudukan mereka sekarang kerana mereka mampu jatuh pada bila-bila masa sahaja.

"Mungkin DAP berasa selesa berlandaskan pencapaian mereka pada PRU yang lalu tetapi jangan lupa, rakyat sekarang ini bukan bodoh dan mampu berfikir lebih jauh. Tidak mustahil mereka akan ‘mengajar’ DAP pada PRU akan datang sekiranya rakyat terutamanya penjawat awam terus dihina,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Lenggong menambah, DAP seharusnya tegas mengambil tindakan terhadap pemimpin mereka yang bersikap keterlaluan sebagaimana mereka sering mendesak kerajaan pusat mengenakan tindakan terhadap pemimpin yang melakukan kesalahan.

Tidak mustahil 1.2 juta penjawat awam di negara ini bakal memberi pengajaran bermakna kepada pembangkang khususnya DAP.

Jika sebelum ini ada pemimpin DAP yang menuduh punca rasuah berleluasa adalah kerana ramai orang Melayu bekerja sebagai kakitangan awam kini penjawat awam disamakan pula dengan kucing kurap.

Tuesday 26 November 2013

Kekalahan Mahfuz Kecohkan Dewan Rakyat

Dialog: Mahfuz kata, kau ni Husam..main tipu ehh...Husam jawab, padan muko kau Mahpus.
KEGAGALAN Datuk Mahfuz Omar (Pas-Pokok Sena) mempertahankan jawatan Naib Presiden dalam pemilihan parti yang diumum semalam, menjadi bahan usikan beberapa penyokong kerajaan di Dewan Rakyat hari ini, sekali gus mencetuskan kekecohan.

Mereka menyifatkan Mahfuz yang membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2014 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pertahanan, berucap seolah-olah "melepas geram".

Mahfuz yang dalam perbahasannya menganggap kerajaan tidak serius menjaga kebajikan tentera kedengaran berkata: "Walaupun tak ada jawatan, saya datang sini pagi-pagi untuk lawan Umno".

Kenyataannya mendorong Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) bangun mencelah dengan mengatakan walaupun kalah, Mahfuz masih bersemangat dan ternyata anggota Pas silap kerana tidak mengekalkannya sebagai naib presiden parti itu.

Datuk Seri Noh Omar (BN-Tanjong Karang) yang turut bangun mencelah berkata, Pas sendiri gagal menguruskan pemilihan parti dengan baik sehingga Mahfuz gagal mempertahankan jawatan itu.

"Saya dengar ucapan Pokok Sena ada bernasnya, tetapi peliknya orang Pas tidak pilih. Dok (Sibuk) cakap pengurusan negara, kewangan dan tanah, yang Pas urus pilihan raya parti pun tak betul pasal apa?

"Jadi, sebab pengurusan parti tidak betullah Yang Berhormat (YB) kalah, mungkin kalau kira kali keempat YB boleh menang," katanya.

Sindiran Noh itu menyebabkan Mahfuz membalas dengan menyasarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai "pekak badak" kerana tidak mendengar aduan berhubung proses pilihan raya umum baru-baru ini.

"SPR orang dah beritahu berpuluh kali, tunjuk perasaan pun tak reti, pekak badak...mereka (penunjuk perasaan) kena tangkap, sembur dengan gas pemedih mata pun buat tak reti juga," katanya.

Keputusan pemilihan PAS yang diumum semalam menyaksikan Mahfuz kalah dengan perbezaan 16 undi kepada Datuk Husam Musa yang meraih tempat ketiga selepas menerima 520 undi.

Dua lagi jawatan naib presiden dimenangi oleh Salahuddin Ayub (917 undi) dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (849 undi).

PKR Sabah hampir lumpuh, 11 ketua cabang PKR umum keluar parti

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak hari ini menyifatkan kedudukan PKR di Sabah hampir lumpuh apabila 11 Ketua Cabang PKR di negeri itu mengumumkan keluar parti.

Pada masa yang sama, beliau turut berkata apa yang berlaku hari ini adalah gelombang pertama kerana selepas ini akan ada gelombang kedua yang turut akan membabitkan Ketua Cabang PKR di negeri itu.

“Hari ini adalah  satu hari yang amat bermakna khususnya dalam konteks politik di negeri Sabah dan negara kita amnya, kerana kumpulan Ketua Cabang PKR ini yang keluar parti PKR akibat hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap kepimpinan PKR seterusnya memberikan kepercayaan kepada kepimpinan Barisan Nasional di peringkat nasional dan di peringkat negeri.

“Mereka ini terdiri daripada 11 Ketua Cabang PKR termasuk dua ADUN yang sudah pun mengistiharkan keluar PKR sebelum ini iaitu ADUN Matunggong, Datuk Jelani Hamdan dan ADUN Kadamaian daripada PKR, Jeremy Malajad.

“Saya juga ingin maklumkan akan berlaku gelombang kedua selepas ini di mana lebih ramai lagi pemimpin-pemimpin PKR Sabah akan keluar dan menyokong BN. Apa yang sudah berlaku dan yang akan berlaku, bahawa parti PKR di Sabah hampir lumpuh dan sebaliknya  BN akan menjadi semakin kuat dan semakin mendapat kepercayaan daripada rakyat Sabah,” ujarnya pada sidang media di sini, sebentar tadi.

Sebelas Ketua Cabang yang mengumumkan keluar parti ialah ialah Kudat, Kota Marudu, Sepanggar, Kota Belud, Batu Sapi, Pensiangan, Beluran, Kinabantangan ,Silam, Kalabakan dan Semporna.

Kes Aminulrasyid: Koperal Jenain kekal bebas

Mahkamah Rayuan Putrajaya,  mengekalkan keputusan mahkamah tinggi melepaskan dan membebaskan Koperal Jenain Subi daripada tuduhan mengakibatkan kematian pelajar sekolah berumur 15 tahun, Aminulrasyid Amzah, tiga tahun lepas.

Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Datuk Balia Yusof Wahi sebulat suara menolak rayuan pendakwaan terhadap keputusan mahkamah tinggi yang membebaskan Jenain, 50.

Balia memutuskan tiada merit dalam rayuan pendakwaan.

Beliau berkata, mahkamah tinggi tidak terkhilaf dalam keputusannya berhubung isu berkaitan niat Jenain untuk mengakibatkan kematian pelajar lelaki itu.

Mahkamah tinggi, ketika membebaskan Jenain pada 2012, memutuskan bahawa Jenain tidak mempunyai niat untuk mengakibatkan kematian Aminulrasyid, sebaliknya menembak kereta yang dipandu remaja itu dengan niat menghentikan kenderaan berkenaan.

Balia berkata, daripada 30 tembakan yang dilepaskan, sebutir peluru menembusi kereta itu manakala bakinya mengenai bahagian bawah kenderaan berkenaan.

Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Rohana Yusuf dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat merupakan dua lagi hakim yang menganggotai panel itu.

Balia berkata, mahkamah tidak bersetuju dengan hujah pendakwaan bahawa mahkamah tinggi dengan sendirinya membuat keputusan bahawa insiden itu adalah satu kemalangan dalam lingkungan maksud Seksyen 80 Kanun Keseksaan.

"Pihak pembelaan menimbulkan isu ini semasa membuat penghujahannya di mahkamah sesyen dan mahkamah tinggi. Tidak boleh dikatakan bahawa mahkamah tinggi telah terkhilaf dalam penghakimannya. Isu Seksyen 80 bukanlah pembelaan Jenain.

"Mahkamah tinggi dalam keputusannya telah menyebutkannya sepintas lalu dan ia bukanlah teras penghakimannya untuk membenarkan rayuan Jenain," kata Balia.

Pada 13 September 2011, Mahkamah Sesyen Shah Alam menjatuhi hukuman penjara lima tahun terhadap Jenain selepas mendapatinya bersalah terhadap tuduhan itu.

Jenain didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, di sini antara 1.10 pagi dan 2 pagi pada 26 April, 2010.

Pada 5 Disember tahun lepas, mahkamah tinggi meminda keputusan itu dan membebaskan Jenain selepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara.

Pendakwaan merayu kepada Mahkamah Rayuan.

Di luar mahkamah, Jenain, yang diiringi keluarganya, berkata beliau berterima kasih kepada peguam dan rakan-rakannya kerana sokongan mereka.

Kata Jenain, beliau akan kembali bertugas dalam pasukan polis.
 
Jenain diwakili peguam peguam M. Athimulan, Salim Bashir dan Halim Ashgar manakala Timbalan Pendakwa Raya Mohd Duzuki Mokhtar dan Wan Saharuddin Wan Ladin mengendalikan pendakwaan.

DAP Pulau Pinang kecam Jeff Ooi isu gelaran 'kucing kurap'

DAP Pulau Pinang menjauhkan diri daripada Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi yang biadap terhadap pegawai rendah majlis perbandaran dengan menggelar mereka ‘kucing kurap’.
 
Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yew berkata, teguran Ooi itu tidak mencerminkan pandangan DAP atau kerajaan negeri, dan berupa “teguran tidak rasmi” atau “pandangan peribadi”.
 
Menurutnya, Ooi tidak pernah menyuarakan sebarang aduan terhadap Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) di dalam mana-mana mesyuarat dalaman, sama ada dengan mana-mana parti atau kerajaan negeri.
 
“Ada 40 wakil DAP di Parlimen, dan negeri tidak boleh bertanggungjawab terhadap setiap kenyataan yang dikeluarkan mereka,” katanya.
 
Ditanya sama ada beliau akan mengarahkan Ooi memohon maaf, Chow berkata: “Itu terpulang kepada beliau.”
 
Chow yang juga Ahli Exco bagi Kerajaan Tempatan seterusnya mempertahan Pengerusi MPPP, Datuk Patahiyah Ismail yang diserang oleh Ooi.
 
Menurutnya, tidak adil bagi Ooi untuk meminta Patahiyah meletakkan jawatan jika beliau tidak dapat menjalankan tugas seperti mana penyandang jawatan terdahulu.
 
Ooi sebelum ini mengecam Patahiyah kerana menghantar pegawai berpangkat rendah dan kurang pengetahuan untuk menyelesaikan aduan peniaga haram di kawasannya di Jelutong dan menggelar mereka ‘kucing kurap.’
 
“Prestasi majlis perbandaran juga mencerminkan prestasi kerajaan negeri, jadi kita mesti bersama bertanggungjawab.
 
"Jika majlis gagal berfungsi dengan baik, ia juga bermakna kerajaan negeri turut tidak berfungsi dengan baik. Tetapi penduduk Pulau Pinang memberi kita mandat kedua, ini bermakna penduduk berpuas hati dengan prestasi majlis,” kata Chow.
 
Ooi menerima kecaman daripada pelbagai pihak kerana tegurannya, termasuk daripada Pengerusi PKR negeri, Datuk Mansor Othman yang menyelar beliau kerana tidak menghormati kakitangan kerajaan dan tidak mematuhi semangat musyawarah di dalam Pakatan Rakyat.

Bekas guru percaya adiknya jadi hamba di London

SEBUAH keluarga di Negeri Sembilan mengesahkan wanita yang didakwa menjadi hamba selama 30 tahun di London adalah anggota keluarga mereka yang hilang selepas menyertai kumpulan Maoist di sana.

Guru pencen, Kamar Mautum Abdul Wahab dari Jelebu berkata, beliau yakin adiknya yang berumur 69 tahun, Siti Aishah Abdul Wahab adalah wanita Malaysia yang ditahan oleh pemimpin kumpulan Komunis Mao sejak 30 tahun lalu.

Kehilangan Aishah katanya menyebabkan keluarganya berasa cukup sedih. Malah ujar Kamar, ibunya telah meninggalkan wasiat supaya Aishah  dijejaki.

"Saya sangat sedih tanpa dia di sini tahun demi tahun. Dia sangat berbakat, dia juga menjadi buah hati pada emak saya. Emak menyebut namanya sebelum menutup matanya.

"Bila emak saya meninggal, dia (Aishah) tidak mahu bercakap dengan kami dan saya tidak boleh berbuat apa-apa," katanya dipetik The Daily Telegraph.

Aishah belajar di sekolah yang paling elit di Malaysia dan mendapat anugerah biasiswa Komanwel untuk belajar dalam bidang Juruukur Bahan di London.

Dia berlepas ke Britain pada tahun 1968 bersama tunangnya dan berhasrat untuk mencapai cita-cita untuk keluarga tetapi kemudiannya terlibat dengan kegiatan politik melampau yang menyebabkan dia melupakan segala-galanya untuk mengikut ajaran Maoist.

Dia terpengaruh dengan Aravindan Balakrishnan dan rakannya, Chanda, telah ditangkap minggu lalu atas dakwaan menahan tiga wanita tanpa kerelaannya melebihi tiga dekad di London.

Tipu NFCorp: Nama Mahathir dimasuk dalam pindaan

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, meminda lima pertuduhan menipu bekas Pengarah Syarikat National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) yang dihadapi Datuk Shamsubahrin Ismail dengan memasukkan nama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam lima pertuduhan itu.

Hakim Rozilah Salleh meminda kelima-lima pertuduhan menipu itu dalam penghakimannya semasa memerintahkan Shamsubahrin membela diri atas lima pertuduhan menipu Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail membabitkan wang berjumlah RM1.755 juta, dua tahun lepas.

Rozilah membuat pindaan itu mengikut Seksyen 158 Kanun Tatacara Jenayah.

Hakim itu juga memerintahkan Shamsubahrin, 47, seorang ahli perniagaan membela diri terhadap 17 lagi pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram membabitkan wang sama (RM1.755 juta).

Dalam keputusannya, Rozilah berkata, mahkamah berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Selepas membacakan keputusannya, Rozilah meminta jurubahasa mahkamah membacakan semula kesemua pertuduhan pindaan itu kepada Shamsubahrin. Dia mengaku tidak bersalah terhadap kelima-lima pertuduhan itu.

Bagi pertuduhan pindaan pertama, Shamsubahrin, didakwa menipu iaitu menjanjikan suatu perkhidmatan rundingan dan nasihat dengan menyatakan dia disuruh Dr Mahathir bagi membantu Mohamad Salleh dan menawarkan untuk menjalankan kerja-kerja konsultan bernilai RM2.75 juta sehingga mendorong Mohamad Salleh bersetuju membayar wang perkhidmatan kepadanya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Sid's Pub di H2, Taman Tunku, Off Langkat Tunku di sini pada 6 petang, 20 November 2011 dan didakwa mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pindaan kedua hingga kelima, Shamsubahrin didakwa menipu iaitu secara tidak jujur memujuk Mohamad Salleh dengan menyatakan dia disuruh Dr Mahathir membantu dan menawarkan untuk melakukan kerja-kerja konsultan.

Perbuatan itu mendorong Mohamad Salleh menyerahkan empat keping cek yang kesemuanya bernilai RM1.755 juta dan mempercayai sebahagian daripada wang itu adalah untuk bayaran perkhidmatan rundingan, nasihat dan untuk diberikan kepada pegawai polis di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Perdana, bagi menutup kes yang sedang disiasat polis berkaitan NFCorp.

Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di beberapa buah bank di Taman Tun Dr Ismail; Kuala Lumpur City Centre (KLCC); dan di Petaling Jaya antara 25 November 2011 dan 5 Disember 2011.
Shamsubahrin didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, denda dan sebatan, jika sabit kesalahan.   

Dia juga berdepan 17 pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM1.755 juta mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam Kamarul Hisham Kamaruddin memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan kerana terdapat elemen baharu dalam pertuduhan yang memerlukan pihaknya menentukan saksi-saksi yang bakal dipanggil dalam perbicaraan membela diri.

Mahkamah kemudian menetapkan 10 Dis ini untuk sebutan dan tiga hari mulai 20 Februari tahun depan untuk perbicaraan.

 Pendakwaan dikendalikan Ketua Unit Pendakwaan SPRM Datuk Abdul Razak Musa

Monday 18 November 2013

Wahai Pas!!… berhentilah dari terus bermain sandiwara

Tak habis-habis puak-puak Pas ni nak bersandiwara lagi pasal hukum Hudud... Umno dah setuju Hudud dilaksanakan di Kelantan, malah Ketua Hakim Syarie, Datuk Daud Muhammad pun kata Kelantan dah boleh buat hudud, tapi still puak-puak bijak pandai putar belit ni masih nak korner.

Sepatutnya bila orang lain dah bagi lampu hijau kepadanya untuk buat hudud, buat sajalah... jangan cari alasan lain lagi nak tangguh-tangguhkan pelaksanaannya. Nampak sangat Pas ni dah mula gelabah...tak tahu nak mula dari mana nak buat hudud.

Nampaknya menjelang Muktamar Tahunan Pas ke-59 yang akan diadakan pada 22 November ini, rakyat bakal disajikan dengan pelbagai drama dan sandiwara terbaru yang menggelikan hati.

Antara kenyataan Ketua Penerangan parti itu, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengatakan Pas akan mendesak negeri-negeri yang dikuasai oleh pakatan rakyat (Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang) untuk melaksanakan hudud.

Bukanlah niat untuk memperlekehkan usaha parti itu, namun umum mengetahui rakan sekutu mereka DAP dan PKR tidak pernah bersetuju dengan pendirian parti itu yang sering mendakwa ingin memperjuangkan Islam.

Ini kerana DAP memang sejak dari dahulu lagi memang terkenal sikap cauvinisme / ultra kiasunya dan begitu tebal dengan semangat kecinaan mereka.

Itu belum lagi diambil kira kenyataan Pengerusi parti itu yang pernah mengatakan untuk meminta mana-mana pemimpin untuk melangkah mayatnya dahulu, sekiranya ingin menjadikan Malaysia sebagai negara Islam.

Malah dia melalui kenyataan terbarunya turut mendesak agar Pas dibatalkan pendaftaran kerana disifatkan sebagai sebuah pertubuhan yang berbahaya.

Manakala bagi pihak PKR pula, melalui perjuangan ‘pemimpin anugerah tuhan’ yang ingin membangunkan sebuah negara liberal yang berasaskan pluralisme agama.

Malah disebabkan faham pluralisme agamanya itu PKR turut sama memperjuangkan kalimah Allah agar boleh digunakan oleh gereja untuk menerbitkan naskah Bible versi Bahasa Melayu.

Paling menarik, apabila Anwar dengan segala tipu daya dan helahnya telah berjaya mempengaruhi Pas sehingga sanggup menggadaikan dan menggugurkan slogan negara Islam yang menjadi asas perjuangan sejak dahulu dengan menerima konsep negara kebajikan.

Perbezaan ideologi antara ketiga-tiga parti terbesar di dalam pakatan pembangkang ini sudah cukup membuktikan desakan yang cuba dilakukan oleh Pas itu hanyalah sekadar retorik dan sandiwara semata-mata. Ini kerana ramai yang melihat kenyataan Tuan Ibrahim itu hanyalah merupakan kenyataan politik yang bertujuan untuk meraih simpati para perwakilan yang bakal mengundi nanti.

Ini kerana, dengan mengambil kira pendekatan kempen Pas selama ini, sekiranya benar parti itu ikhlas ingin memperjuangkan Islam dan Hudud mereka tidak akan bersifat seperti ‘talam dua muka’.

Di depan pengundi Melayu mereka mencanangkan Islam, namun di depan pengundi Cina dan India mereka menggunakan konsep negara berkebajikan. Seolah-olah konsep Islam tidak layak untuk semua kaum. Jadi di manakah konsep dakwah yang merupakan sebahagian dari Islam?

Di depan pengundi Melayu mereka mencanangkan Islam, namun di depan pengundi Cina dan India mereka menggunakan konsep negara berkebajikan. Seolah-olah konsep Islam tidak layak untuk semua kaum. Jadi di manakah konsep dakwah yang merupakan sebahagian dari Islam?

Sebenarnya isu Hudud ini sengaja dibangkitkan, kerana Tuan Ibrahim sedar parti itu mempunyai terlalu banyak isu yang dijangka akan berbangkit dalam muktamar Pas pada kali ini.

Di samping isu pencapaian dalam PRU-13, isu tahalluf siasi, isu syiah, kalimah Allah, pengaruh liberal dalam Pas dan isu memorandum Comango yang tidak diberi perhatian oleh Pas mungkin antara perkara yang akan dibangkitkan.

Ia terkait langsung dengan asas perjuangan Pas untuk memartabatkan Islam. Isu kalimah Allah menyebabkan dalam kalangan kepimpinan utama Pas bercanggah pendirian. Sedangkan isu itu terhubung dengan persoalan akidah. Isu Syiah menyebabkan Pas tidak ambil pendirian yang jelas sedangkan fahaman Syiah bercanggah dengan fahaman Ahlu Sunnah wal jamaah.

Isu perjuangan Comango sangat jelas bercanggah dengan Islam. Isu Hak Asasi Manusia yang bercanggah dengan syariat tidak dibantah oleh Pas. 54 organisasi Comango sangat jelas anti-Islam dan anti Perlembagaan Malaysia. Mengapa Pas membisu? Lujnah Penyelidikan Pas yang diketuai oleh Dr. Zulkifli tidak membantu.

Isu parasit dalam Pas dan pengaruh Anwariyyun memang diketahui umum. Apakah dukungan Anwar terhadap pluralisme agama menyebabkan Datuk Mujahid tertarik dengan fahaman ini dan menyebabkan beliau menulis dalam sebuah buku yang amat liberal sifatnya.

Isu Pas dalam politik Malaysia bukan sekadar isu kerusi dan kuasa tetapi isu ideologi dan sinergi ulama dan professional. Ideologi Pas ingin memartabatkan Islam dalam sistem kenegaraan.

Bila Pas bersetuju melunakkan perjuangannya ke arah negara “berkebajikan” ia sudah lari daripada ideologi. Ia adalah suatu kesilapan besar.

Berbalik kepada isu asal, PKR mungkin tidak akan membantah secara terang-terangan bagi mengelakkan masyarakat Melayu dan Islam mengetahui belang sebenar mereka. Namun DAP sudah pasti bakal menentang habis-habisan sebarang cadangan dan gesaan parti itu untuk melaksanakan hudud bukan sahaja di Pulau Pinang namun turut merangkumi di Selangor dan Kelantan.

Kepada para pemimpin Pas, berhentilah dari terus bersandiwara. - Dr Muslim Umar

Batal pendaftaran : Karpal tipu atau tidak, apa yang boleh mereka lakukan?

Penulis tak faham apa yang Naib Ketua Pemuda PAS yang baru bising sangat dengan hakikat bahawaKarpal menipu ada buat kenyataan mahu PAS diharamkan kerana menggunakan nama Islam pada partitersebut.

Karpal kata kenyataannya pada 5 November tidak langsung menyebut pasal soal itu (mahu PAS diharamkan kerana guna perkataan Islam), tapi Pemuda PAS pulak kata ada bukti dalam bentuk CD.


So what kalau betul pun Karpal menipu?  Nak putuskan hubungan dengan DAP ke? Nak desak Karpal minta maaf ke?  Kalau tak, apa?  PAS nak keluar dari Pakatan Rakyat?

Penulis tak rasa itu akan terjadi kerana hubungan luar nikah dengan DAP ini terbukti telah mencambahkan benih haram yang memberikan keuntungan yang tak terkira banyaknya kepada PAS.

Kerana hubungan inilah ADUN PAS dapat jadi Exco di Selangor, jadi Yang Dipertua Majlis Agama Islam di Pulau Pinang, Mat Sabu dapat masuk jadi Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Air Pulau Pinang dan sebagainya.

Malah, ADUN PAS dapat merasa jadi Menteri Besar Perak buat pertama kali pada 2008 (walaupun hanya ada 6 kerusi) sebab sokongan dari DAP.

Ini semua ada masyuk tau, jadi gila ke dek sebab satu penipuan macam itu oleh Karpal Singh, Pemuda PAS berharap parti tersebut akan putuskan hubungan dengan DAP.  Sudah tentu tidak masuk akal sama sekali.

Lainlah kalau Pemuda PAS boleh ganti semula semua keistimewaan yang hilang kalau perkara itu terjadi nanti!!  Rasanya tak mungkin.

Eh, penulis nak sebut ni, hudud – yang digembar gembur sebagai undang-undang Allah swt yang wajib dilaksanakan tidak kira apa itu pun, PAS sanggup ketepikan demi menghalalkan hubungan haram dengan DAP, apa sangat dengan Karpal menipu pasal nak PAS diharamkan?

Tuhan pun ulama ulama PAS sanggup ketepikan demi DAP, apa Pemuda PAS ingat mereka lebih tinggi dari Tuhan ke?

Sebetulnya, apa yang Pemuda PAS buat sekarang (dengan mempertikaikan Karpal) ini, sebenarnya tidak lebih dari permainan politik untuk menghadapi pemilihan pada Muktamar yang akan datang (22 November).  

Adalah nanti salah satu dari 2 fraksi yang wujud dalam PAS sekarang yang akan dapat kelebihan bila isu Karpal ini diperbesarkan.

Masa inilah semua benda pun naik; hudud, hubungan dengan DAP dan sebagainya yang bertentangan dengan norma tradisi menjadi parti yang kononnya memperjuangkan Islam seperti PAS.

Nanti senanglah nak gebang, Islam masih jadi perjuangan teras PAS walaupun bekerjasama dengan DAP – konon, kononnya lah. - mykmu.net

Pesawat komersial kurang sesuai untuk lawatan rasmi PM ke luar negara

"Kalau kereta rosak, boleh berhenti di tepi jalan, bagaimana kalau kapal terbang yang Perdana Menteri naik itu rosak?," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Beliau berkata, penggunaan perkhidmatan syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines (MAS) untuk lawatan rasmi Perdana Menteri ke luar negara adalah kurang bersesuaian kerana beberapa faktor.

Kata beliau, antaranya laluan penerbangan MAS tidak meliputi semua kawasan dan adalah kurang bersesuaian jika pemimpin negara terpaksa menaiki pesawat komersil bersama penumpang lain.

“Ia melibatkan imej negara. Takkan Perdana Menteri terpaksa menunggu sehingga semua penumpang (baru boleh terbang).

“Ia akan melibatkan kos yang lebih tinggi jika kerajaan terpaksa ‘charter’ sebuah pesawat MAS untuk tujuan tersebut,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2014 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai penjelasan kepada beberapa anggota parlimen yang ingin tahu mengapa Perdana Menteri tidak menggunakan MAS untuk lawatan rasmi ke luar negara.

Shahidan berkata penggunaan pesawat-pesawat eksekutif milik kerajaan bukan terhad kepada Perdana Menteri sahaja.

Katanya, pesawat tersebut juga boleh diguna oleh Yang di-Pertuan Agong, Timbalan Yang di-Pertuan Agong serta Timbalan Perdana Menteri untuk tujuan lawatan rasmi ke luar negara.

Katanya, malah isteri Perdana Menteri juga boleh menggunakan pesawat tersebut untuk urusan rasmi di luar negara dengan syarat mendapat kelulusan Jemaah Menteri dan sesuatu acara yang dihadiri itu mempunyai kepentingan untuk negara.

Katanya, perbelanjaan tinggi diperuntuk bagi penyenggaraan pesawat-pesawat ini bagi memastikan ia sentiasa berada dalam keadaan terbaik.

“Kalau kereta rosak, kita boleh berhenti di tepi jalan. Tapi kalau pesawat rosak, di mana kita nak berhenti?,” katanya.

Awal bulan ini, Shahidan memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa kerajaan telah membelanjakan RM182 juta untuk petrol dan penyenggaraan tujuh buah pesawat eksekutif milik kerajaan.