Friday 10 January 2014

MB Selangor gugur Azmin dari lembaga pengarah PKNS

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali telah digugurkan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS ) berikutan keputusan yang dibuat oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Satu sumber memberitahu, bahawa surat yang memaklumkan kepada Azmin mengenai penggugurannya itu dihantar pada jam 11 pagi semalam.

PKNS, sebuah konglomerat milik kerajaan negeri adalah pemaju hartanah utama dan pelabur dalam perniagaan utama di Selangor.

Sumber itu berkata, penyingkiran itu dibuat walaupun penasihat undang-undang negeri dan PKNS menasihatkan supaya Azmin yang juga ADUN Bukit Antarabangsa dikekalkan.

Alasan yang diberikan oleh Menteri Besar ialah Azmin telah memulangkan kenderaan rasmi dan keistimewaan lain kepada PKNS sebelum pilihan raya umum lepas, kata sumber itu yang mengetahui mengenai kertas exco mengenai perkara itu.

Sambil menyifatkan alasan yang diberikan itu sebagai "tidak masuk akal", sumber itu berkata, Azmin memulangkan keistimewaan itu selaras dengan garis panduan kerajaan sementara selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

Menurut sumber itu, Abdul Khalid yang juga Pengerusi PKNS telah mempengerusikan dua mesyuarat lembaga pengarah perbadanan itu selepas pilihan raya umum, tetapi enggan menjelaskan kedudukan Azmin dan dua orang lagi penyandang yang dilantik oleh kerajaan.

Bagaimanapun, Abdul Khalid kemudian tiba-tiba meminta surat exco mengenai kedudukan mereka dalam Lembaga Pengarah PKNS - ADUN Cempaka, Iskandar Abdul Samad, bekas ADUN Kinrara Teresa Kok dan Azmin - kata sumber itu.

"Seorang penyandang dikekalkan".

Kertas exco diminta adalah kerana wujud kekaburan berhubung peraturan mengenai tempoh tepat ahli lembaga PKNS yang dilantik dalam agensi kerajaan negeri itu dan juga pelantikan semula mereka.

Kertas exco itu disampaikan kepada Abdul Khalid pada 13 November tahun lalu dan beliau membuat keputusan untuk menggugurkan Azmin pada 4 Disember, kata sumber itu.

Menurut sumber itu lagi, Iskandar, yang juga ADUN PAS di Selangor, dikekalkan dalam lembaga pengarah PKNS.

Pengguguran Kok, bekas exco kanan kerajaan negeri yang menyerah kerusi DUN beliau di Selangor untuk memberi tumpuan kepada kerusi Parlimen di Kuala Lumpur, memang telah dijangka.

Azmin merupakan pengkritik kuat Abdul Khalid, yang menggesa menteri besar itu supaya berbelanja untuk pembangunan dan bukannya terkumpul rizab negeri ini yang berjumlah hampir RM3 bilion tahun lepas.

Azmin pernah meletak jawatan dalam lembaga pengarah PKNS pada tahun 2010, tetapi menafikan ia disebabkan oleh perselisihan dengan Abdul Khalid.

Sebaliknya, beliau menegaskan ia untuk memberi laluan kepada calon-calon yang lebih muda yang "lebih disukai" oleh menteri besar.

Pengguguran terbaru Azmin itu berlaku hanya dua bulan sebelum pemilihan parti PKR, yang bakal menyaksikan perebutan jawatan tertinggi di kalangan pemimpin utamanya.

Wednesday 8 January 2014

Bekas Ratu Venezuela ditembak mati dalam rompakan di lebuh raya

 Post Pic
CARACAS (Venezuela): Bekas Ratu Venezuela dan bekas suaminya ditembak mati manakala anak perempuannya berusia lima tahun cedera selepas bergelut dengan perompak di lebuh raya di sini, kata polis hari ini. 
 
Pembunuhan Monica Spear, 29, dan lelaki warga Britain, 39, adalah kes jenayah berprofil tinggi terbaru di negara itu di mana pembunuhan adalah perkara biasa dalam rompakan bersenjata dengan penculikan berleluasa di kalangan duta asing dan pemain besbol profesional. 
 
Spear dan Berry dibunuh pada kira-kira jam 10.30 malam, Isnin lalu ketika dalam perjalanan dari Puerto Cabello dan menuju ke pelabuhan utama di wilayah Valencia. Mereka dalam perjalanan pulang selepas bercuti di Caracas. - AP

Ribut Artik paling sejuk ancam AS

Post Pic


 
CHICAGO: Ribut Artik melanda sebahagian besar tengah Amerika Syarikat kelmarin dengan suhu paling sejuk dalam masa dua dekad yang menyebabkan sekurang-kurangnya empat kematian, memaksa perniagaan dan sekolah ditutup dan menyebabkan ribuan penerbangan dibatalkan. 
 
Gelandangan membanjiri pusat perlindungan disebabkan cuaca amat sejuk yang disifatkan sebahagian pakar kaji cuaca sebagai vorteks kutub dan digelar media sebagai kutub khinzir. 
 
Perkhidmatan cuaca kebangsaan melaporkan suhu berada pada paras 11 hingga 22 darjah Celsius di bawah purata di kebanyakan bahagian di Montana, Dakota Utara dan Selatan, Minnesota, Iowa, Wisconsin, Michigan dan Nebraska. 
 
Paling sejuk 
 
Agensi itu juga melaporkan Babbitt, Minnesota, adalah tempat paling sejuk di Amerika semalam dengan mencatat suhu -38.3 darjah Celsius. 
 
Ia lebih sejuk daripada Marikh sejak kebelakangan ini, yang menyaksikan kenderaan NASA, Curiosity, menunjukkan suhu tinggi pada 2 Januari lalu iaitu -36 darjah Celsius. 
 
Keadaan di Amerika mengatasi cuaca beku di Almaty, Kazakhstan, yang menunjukkan suhu -22 darjah Celsius, Mongolia -23 darjah Celsius dan Irkutsk, di Siberia, dengan -33 darjah Celsius.
 
Lebih separuh daripada penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa OHare di Chicago dibatalkan apabila bekalan minyak membeku, menyebabkan krew tidak boleh mengisi tangki pesawat. 
 
Suhu tengah hari di Chicago pula mencecah -24 darjah Celsius. 
 
Vorteks kutub, udara paling sejuk di hemisfera utara yang berlegar di rantau kutub pada musim sejuk tetapi boleh ditolak ke selatan, bergerak ke Pantai Timur yang menyaksikan suhu dijangka jatuh semalam. - REUTERS