Saturday 21 December 2013

'Hartanah Seperti Wanita', Tengku Adnan Mohon Maaf

MENTERI Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor memohon maaf jika golongan wanita terasa dengan kenyataannya yang dikatakan menyamakan wanita dengan hartanah.

Beliau bagaimanapun menegaskan, bahawa kenyataan itu telah disalahertikanoleh pihak tertentu dan beliau tidak bermaksud membuat wanita tersinggung.

"Saya tidak pernah menyamakan wanita dengan hartanah. Apa saya maksudkan orang tidak faham iaitu kalau anda buat rumah cantik, seperti wanita juga...kalau mahu cantik pakai 'makeup'," katanya ketika ditemui pemberitaselepas menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan MCA, Sabtu.

Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung Umno turut menafikan bahawa beliau tidak menghormati golongan wanita kerana beliau sendiri memiliki ramai anak perempuan.

"Saya tidak pernah tidak hormat perempuan...saya ada enam anak perempuan,bahkan dalam Umno, separuh daripadanya adalah golongan wanita...sebab itu jika wanita tersinggung, saya minta maaf dan saya memang tidak bermaksud," katanya.

Pada Jumaat, Tengku Adnan dilaporkan menghina wanita Malaysia apabila menyatakan bahawa 'hartanah seperti wanita, harganya meningkat apabila memakai alat solek dan jika tidak memakai alat solek harganya menurun' ketika menjelaskan mengenai kadar cukai taksiran hartanah di Kuala Lumpur.

Mengulas tentang amanat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di perhimpunan itu, Tengku Adnan berharap ia (amanat) akan menyuntik semangat kepada semua anggota MCA terutama barisan kepimpinan tertinggi baharu parti itu yang akan dipilih pada Sabtu.

Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berkata dalamusaha mengembalikan semula keyakinan masyarakat Cina di negara ini untuk memilihMCA, semua parti komponen BN akan berganding bahu dalam merealisasikan harapanitu.

"Kita BN sebagai satu parti yang berbilang bangsa akan teruskan apa juga kerjasama yang telah kita amalkan selama ini...kita akan bekerjasama dengan MCA dan berharap selepas pemilihan ini MCA akan bertambah kuat dan akan mewakili rakyat Cina," katanya.

Najib yang juga Pengerusi BN dalam ucapan perasmiannya hari ini menggariskanempat langkah untuk MCA mengembalikan sokongan rakyat kepada parti itu iaitu 'reunite', 'restrategies', 'reinvigorate' dan 'reestablish'.-BERNAMA

Saya Tidak Menyesal Tidak Pertahankan Jawatan Presiden - Chua

Dr Chua Soi Lek (kanan) mengundi pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) MCA di Wisma MCA, Sabtu. 


DATUK Seri Dr Chua Soi Lek menegaskan beliau tidak menyesal apabila membuat keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden MCA.

"Kehidupan saya tidak semata-mata hanya berkisar kepada politik sahaja, malah saya masih ada rancangan lain selepas berundur nanti.

"Namun demikian, saya masih merupakan seorang perwakilan dan anggota parti dan akan terus memberi sokongan kepada parti tidak kira dalam memberi nasihat ataupun menghadiri sebarang program yang dianjurkan oleh parti," katanya.

Bercakap pada sidang media selepas mengundi pada pemilihan parti sempena Perhimpunan Agung MCA kali ke-60 di Wisma MCA pada Sabtu beliau berkata keputusan tidak mempertahankan jawatannya itu untuk memberi peluang kepada pucuk pimpinan yang baharu menerajui parti.

"Saya turut berharap dan sentiasa mendoakan agar pucuk pimpinan yang baharu ini dapat mengembalikan sokongan masyarakat Cina terhadap MCA dan sama-sama berjuang untuk berkhidmat kepada mereka," katanya.

Mengulas mengenai ucapan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak, Dr Chua berkata, rakyat seharusnya bijak membuat penilaian terhadap BN secara keseluruhannya terutama MCA kerana parti itu merupakan sebahagian komponen daripada entiti itu.

"Ini bukan soal pucuk pimpinan sahaja... ini soal sokongan kepada kerajaan. MCA merupakan sebahagian daripada BN, apa dasar yang dilaksanakan oleh BN akan ditafsirkan seperti MCA sebahagian daripadanya.

"Kalau dasar itu rakyat tak terima, maka MCA dan parti komponen lain (juga) akan menanggung beban ini," katanya.

Sementara itu, Dr Chua juga menyeru semua perwakilan agar menghormatisebarang keputusan yang dibuat selepas pemilihan dan bekerjasama dengan barisankepemimpinan yang baharu bagi menerajui parti.

"Saya tidak mahu sejarah berulang apabila ada perwakilan yang tidak puas hati ketika saya dipilih menjadi presiden pada pemilihan tahun 2010 lalu meletakkan jawatan meninggalkan parti.

"Ini satu tindakan yang tidak bertanggungjawab, tidak menghormati sistem demokrasi yang diamalkan serta tidak menghormati keputusan perwakilan keranagolongan ini mementingkan diri sendiri yang mahukan individu tertentu sahajamemimpin parti dan enggan bekerjasama dengan pemimpin baharu," katanya.-BERNAMA

Penggantungan Permit The Heat Bukan Kerana Laporan Mengenai Perbelanjaan Tidak Berhemah PM - KDN

 
Akhbar The Heat digantung kerana tidak menepati syarat ditetapkan KDN.

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) menafikan bahawa akhbar mingguan The Heat telah digantung berhubung laporan 'perbelanjaan tidak berhemah Perdana Menteri' yang disiarkan, bulan lalu.

Sebaliknya, kementerian itu menegaskan penggantungan itu dilakukan kerana akhbar tersebut telah melanggar syarat yang terkandung dalam permit penerbitan.

"Keputusan itu tiada kena mengena dengan laporan mengenai Perdana Menteri yang disiarkan The Heat baru-baru ini, dan sebarang dakwaan yang bertentangan dibuat tanpa bukti," kata jurucakap KDN yang dihubungi pemberita The Wall Street Journal.

Permit penerbitan The Heat digantung oleh KDN pada Khamis.

Dalam kenyataan tiga perenggan The Heat yang disiarkan pada Sabtu di laman web akhbar tersebut, memaklumkan bahawa The Heat telah menghentikan penerbitannya kerana mematuhi arahan pemberhentian yang dikehendaki oleh KDN.

Portal tersebut turut mengesahkan dengan penggantungan itu, akhbar mingguan tersebut tidak akan diterbitkan pada 21 Disember (Sabtu) seperti yang dijadualkan.

Akhbar bersaiz tabloid itu dilaporkan menerima surat tunjuk sebab minggu lalu.

Laporan terdahulu mendakwa penggantungan akhbar tersebut dipercayai berhubung penyiaran artikel muka depan mengenai perbelanjaan tidak berhemah Perdana Menteri yang disiarkan pada 23 hingga 29 November lalu.

Sementara itu, menurut laporan The Malaysian Insider, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata penggantungan akhbar The Heat berkuatkuasa serta merta selepas diberikan surat tunjuk sebab.

Beliau berkata, ia merupakan prosedur biasa sementara menunggu jawapan kepada surat tunjuk sebab, sebelum tindakan selanjutnya daripada KDN.

“Penerbit mempunyai masa sehingga 24 Disember untuk menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan kepada mereka,” kata Wan Junaidi.

Friday 6 December 2013

PM balik tinjau banjir di Pahang lepas sampai ucapan dasar



Sebaik sahaja Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak habis berucap untuk ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) pagi semalam, beliau terus bergegas ke Pahang untuk meninjau keadaan banjir di negeri itu yang dianggap paling buruk.

Sikap Perdana Menteri ini patut dicontohi pemimpin lain yang berada di PWTC untuk menghadiri PAU, balik ke kawasan masing-masing meninjau keadaan banjir kerana bencana itu dikatakan turut berlaku di tiga negeri iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Tok Janggut sendiri ketika melayari laman sosial Facebook, melihat rintihan penduduk dan ahli akar umbi merayu pemimpin mereka yang berada di Kuala Lumpur agar balik menjenguk mereka yang ditimpa musibah akibat banjir.

Pada Tok Janggut, elok juga mereka balik kerana masalah rakyat paling diutamakan dalam semua perkara. Lagipun, berada di PWTC kalau bukan untuk menyampaikan perbahasan dan hanya sekadar memenuhkan dewan atau bangunan, baik ambil keputusan balik ke kawasan.

Rakyat lebih memerlukan perhatian kita. Sekurang-kurangnya dengan adanya pemimpin di tempat itu dapat melegakan mangsa banjir yang mungkin mengalami kerugian akibat rumah mereka dinaiki air.

Contohilah DS Najib. Walaupun dalam kesibukan melayan tetamu luar negara yang datang sempena PAU, beliau sempat balik ke Pahang. Cuma janganlah kita di bawah ini jadikan alasan, “Taka pa PM boleh balik bila-bila masa sebab ada kapal terbang eksekutif yang boleh bawa PM bila-bila masa”.

Sebenarnya, kita pun boleh jadi macam PM juga. Banyak kemudahan pengangkutan disediakan seperti kapal terbang MAS, kapal terbang Air Asia dan terbaru Firefly. Gunakanlah kemudahan itu untuk balik ke kawasan.

Dalam keadaan darurat sekarang, pucuk pimpinan pun tentu mengizinkan pemimpin negeri dan pemimpin kawasan balik ke bahagian atau parlimen masing-masing kerana dalam keadaan sekarang rakyat memerlukan kita.

Tok Janggut tabik, pertamanya, kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Shabery Cheek kerana menjadi pemimpin pertama bergegas pulang ke Terengganu sebaik sahaja menerima makluman mengenai keadaan banjir di negeri itu.

Kemudian diikuti beberapa menteri lain dan pemimpin kanan lain. Sungguhpun begitu, PAU tidak terjejas dengan ketiadaan mereka. Malah PAU tetap berjalan mengikut jadual. Tambahan pula, agenda menyelamatkan mangsa banjir termasuk dalam perjuangan dan pembelaan Umno.

Sekali lagi tahniah kepada DS Najib. Dalam perjalanan (penerbangan) beliau sempat meninjau keadaan banjir di Pahang dari udara dan sempat singgah di pusat pemindahan banjir di Sekolah Menengah Sains Sultan Ahmad Shah dan Sekolah Sungai Miang di Pekan.

Beliau juga sempat singgah di Sekolah Kebangsaan Sungai Puteri Rompin untuk bertemu mata dan bertanyakan khabar keadaan mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan itu.

Umno siapsiaga gempur pembangkang hadapi PRU 14



Terpegun Tok Janggut mendengar ucapan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menyampaikan ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung Umno (PAU) di PWTC, di Kuala Lumpur pagi semalam.

Ucapan paling panjang dan paling bernas pada perkiraan Tok Janggut sepanjang mengikuti PAU sejak penggal pertama DS Najib menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno sejak April 2009. 

Banyak benda dikupasnya yang setiap satunya perlu diterjemah dan diolah oleh anak-anak buah di peringkat negeri, bahagian dan cawangan di seluruh negara.

Tok Janggut juga tengok DS Najib begitu berseri-seri kali ini. Almaklum, penggal pertama BN menang dan terus kekal menerajui Malaysia pada PRU 13 Mei lalu. Tok Janggut tumpang ceria, bangga dan gembira dengan pencapaian DS Najib.

Namun, dalam keterpesonaan Tok Janggut menghayati isi butir ucapan DS Najib, terfikir juga oleh Tok Janggut akan banyak benarnya apa yang dikatakan oleh DS Najib terutama mengenai perjuangan Umno kepada umat Islam, bangsa Melayu dan rakyat 1Malaysia.

Betul sekali kata DS Najib, kalau bukan Umno yang melestarikan pembangunan negara sehingga disegani rakan-rakan dari Asia, Eropah dan barat, siapa lagi yang mampu berbuat demikian. Nak harapkan Pas dan PKR? Nak jaga parti sendiri pun bercelaru. Inikan pula negara.

Tengok sajalah Kelantan yang diperintah oleh Pas, Pulau Pinang yang ditadbir oleh DAP dan Selangor oleh Pakatan Rakyat. Ketiga-tiga negeri itu berada dalam kecelaruan yang amat teruk. Sesama sendiri bergaduh, berkrisis dan berbalah merebut kuasa.

Di Kelantan misalnya, sejak tok guru Nik Aziz meletak jawatan sebagai menteri besar dan orang kanannya, Datuk Husam Musa tidak lagi dilantik sebagai Exco, banyak kegemparan yang berlaku. Mungkin sedikit sebanyak ada rasa tidak puas hati dalam diri kedua-dua mereka terhadap kepimpinan baru Kelantan oleh Datuk Ahmad Yakub.

Begitu juga di Pulau Pinang. Nampak saja tenang, tetapi di dasar cawan berkocak bergelodak. Dasar penindasan yang dibawa oleh kerajaan DAP menyebabkan Pas Pulau Pinang tidak berpuas hati. Sekarang kedua-duanya berkrisis sehingga Pas meminta Presidennya DS Abdul Hadi Awang campur tangan.

DS Abdul Hadi nak campur macam mana, dia terlalu sayang sangat kepada DAP. Hinggakan apa saja yang DAP lakukan kepada Pas pun dia tak ambil kisah.

Di Selangor pun makin teruk. Siapa kata menteri besarnya, TS Abdul Khalid mendapat sokongan seratus peratus daripada wakil rakyat pakatan pembangkang? ADUN Bukit Antarabangsa, Azmin Ali antara manusia yang sangat memusuhi TS Khalid.

Ini semua dikupas oleh DS Najib pada ucapan dasarnya dan para pemimpin Umno perlulah menghangatkan isu-isu ini supaya rakyat sedar siapa sebenarnya Pas, PKR dan DAP. Jangan pula Presiden seorang sahaja yang berdegar-degar, sedangkan yang lain tidur lena.

Setiap kali diadakan PAU, adalah untuk menyiapsiagakan barisan tenteranya yang terdiri daripada tiga sayap parti iaitu Pergerakan Wanita dan Pemuda yang senior serta Pergerakan Puteri dan Kelab Putera yang masih junior.

Jangan pula, datang jauh-jauh dari negeri masing-masing untuk berhimpun di PWTC semata-mata untuk mendengar ucapan dasar Presiden, kemudian bila balik, terus hempas fail bawah kerusi dan kita pula tidur, kononnya nak hilangkan penat.

Untuk berjuang dalam parti, soal penat bukan faktor yang perlu diutamakan. Tidak ada maknanya Presiden seorang yang merangka strategi untuk menguatkan parti, tetapi tidak disambut oleh bala tenteranya. Ini suatu yang amat mendukacitakan bagi Tok Janggut.

Apapun, Tok Janggut mengikuti satu persatu ucapan perbahasan oleh Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri. Masing-masing ada wawasan, visi dan misi tersendiri untuk mengemudi sayap parti dalam tempoh mereka diberi amanah dan tanggungjawab menjadi kapten.

Tetapi, sejauhmana mereka menterjemahkan ucapan itu apabila balik ke kawasan nanti, tidak diketahui. Mungkin indah khabar dari rupa atau cakap berdegar-degar, ekor bergelumbang taik?

Harap-harap ia tak berlaku sebagaimana sangkaan Tok Janggut ini. Tok Janggut nak tengok Umno bawah pimpinan DS Najib lebih bertenaga dan bersemangat untuk mengembalikan maruah parti yang satu per empat hilang pada PRU 13 lalu.