Saturday 22 February 2014

Zaid kembali gegar dunia politik


Sehingga hari ini, dua pemimpin parti politik menawarkan diri bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang. Daripada dua calon itu, seorang sudah mengesahkan tiket bertanding, iaitu Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Seorang lagi dari Barisan Nasional (BN) yang masih dalam peringkat mencari dan menilai calon sesuai untuk berlawan dengan Anwar yang juga Penasihat Pakatan Pembangkang dan disebut-sebut bakal pengganti Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Ketika pengundi DUN Kajang, majoritinya Cina diulik dengan ceramah dan janji Anwar, tiba-tiba tidak semena-mena muncul seorang pemimpin yang sudah bersara dari politik, menyatakan hasratnya hendak mencuba nasib.

Orang itu ialah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim. Beliau menyatakan hasratnya melalui tulisan dalam blognya zaid.my, dan kata putus sama ada benar atau sebaliknya hanya diketahui pada sidang medianya di Satay Kajang Samuri, Kajang pada tengah hari Ahad.

Mungkin ia satu kejutan atau mungkin juga bukan kejutan. Tetapi pilihan raya kecil DUN Kajang adalah permulaan kali ketiga bagi Zaid untuk terlibat semula dalam politik selepas empat tahun bersara. Dalam tempoh 'persaraan' itu beliau banyak menghabiskan masa menulis perkembangan semasa melalui blognya dan menyampaikan ceramah ilmu.

Sejarah politik Zaid bermula tahun 1992 di Kota Bharu Kelantan. Beliau kembali ke kampungnya di Pasir Hor (dalam Parlimen Kubang Kerian), tetapi berminat dengan UMNO Bahagian Kota Bharu.

Justeru, beliau mendaftar sebagai ahli UMNO di Cawangan Khatib Ali dan bergiatlah beliau dalam politik. Matlamat utamanya ialah jawatan Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu. Ketika itu jawatan berkenaan dipegang atau disandang Datuk Ahmed Rastom Ahmed Maher.

Zaid berhempas pulas selama enam tahun atau tiga penggal pemilihan untuk mendapatkan sokongan ahli UMNO Bahagian itu bagi membolehkannya mengalahkan Ahmed Rastom. Akhirnya dalam pemilihan penggal ketiga, keputusan memihak kepadanya dan beliau dinobatkan sebagai Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu.

Pertama kali mencuba nasib sebagai calon Barisan Nasional (BN) bertanding kerusi Parlimen Kota Bharu melawan calon Pas (Datuk Takiyuddin Hassan), beliau tewas. Kemudian PRU seterusnya, beliau menang setelah mengalahkan calon PKR dan terus dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada tahun 2004.

Bagaimanapun, di sebalik kemenangan bersejarah pada PRU 2004 itu ada peristiwa hitam terselit. Sepuluh hari sebelum pengundian, nama Zaid diletakkan sebagai calon di kerusi DUN Bunut Payong, Kota Bharu, tetapi beliau enggan menerimanya dan mengarahkan sekumpulan penyokongnya membuat bantahan di hadapan bangunan pejabat UMNO Negeri.

Akur dengan desakan dan bantahan itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed ketika itu terpaksa mengubah semula senarai nama calon dengan mengekalkan Zaid di kerusi Parlimen Kota Bharu.

Kemenangan itu membuka laluan Zaid ke Kabinet sebagai Menteri yang menjaga hal ehwal undang-undang dan pembaharuan kehakiman.

Zaid adalah seorang yang suka melawan arus. Dari awal penglibatan politik lagi beliau sentiasa berselisih pendapat dengan pucuk pimpinan parti dan sikap itu menyebabkan beliau tidak lama dalam Kabinet, sebelum membuat kejutan meletak jawatan sebagai menteri.

Beliau menyertai pembangkang dengan menjadi ahli dan Naib Presiden PKR. Beliau mendaftar keahlian parti itu di Bangi, Selangor dan tidak lama kemudian diberi kepercayaan oleh Anwar bertanding di kerusi Parlimen Hulu Selangor tahun 2010.

Tidak lama dalam PKR, Zaid membawa haluan sendiri dengan menubuhkan Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA). Asal parti ini ialah Angkatan Keadilan Insan Malaysia yang ditubuhkan oleh serpihan Pas bersama parti Hisbul Muslimim (Hamim).

Dalam KITA juga Zaid yang ketika itu Presiden berselisih faham dengan biro politik parti itu menyebabkan beliau meninggalkan parti itu terkontang kanting tanpa kemudi.

Beliau kemudian mengumumkan mahu bersara dan menumpukan kepada keluarga dan sebuah badan kebajikan yang ditubuhnya sejak sekian lama iaitu Yayasan Orang Kurang Upaya Kelanyan (YOKUK).

Kini, selepas empat tahun berlalu, Zaid timbul kembali. Darah politik yang mengalir dalam tubuhnya tidak boleh dihalang. Beliau menulis dalam blog miliknya menyatakan hasrat mahu bertanding di DUN Kajang.

"Kekalahan dalam pilihan raya adalah perkara biasa. Ia tidak menghalang saya untuk terus mencuba, selagi mendapat restu isteri dan anak-anak,” kata Zaid dalam perbualan dengan Malaysiagazette malam tadi.

No comments:

Post a Comment